TRIPOLI 9 April - Pihak berkuasa Libya semalam membebaskan 90 anggota gabungan rangkaian Al-Qaeda dari sebuah penjara selepas mereka mengaku untuk menolak keganasan.
Kesemua mereka yang dibebaskan itu merupakan anggota Kumpulan Pejuang Islam Libya yang dikaitkan dengan rangkaian Al-Qaeda dan dijatuhi hukuman penjara 10 tahun hingga sepanjang hayat.
Bagaimanapun, kebanyakan mereka sudah menghabiskan tempoh enam hingga lapan tahun di dalam penjara.
Kumpulan tersebut didakwa melancarkan komplot menjatuhkan pemerintahan Muammar Gaddafi
Pembebasan mereka diusahakan oleh Gaddafi International Foundation for Charity Associations, sebuah pertubuhan yang dibiayai kerajaan dan dipengerusikan oleh Seif al-Islam, anak lelaki sulung Muammar.
Ia merupakan hasil rundingan selama dua bulan antara pertubuhan itu dengan ketua tahanan berkenaan.
Berdasarkan pita audio yang dikeluarkan melalui Internet pada November lalu, kumpulan yang dikenali dengan singkatan LIFG itu telah menyertai rangkaian Al-Qaeda tidak lama sebelum itu.
"Semua mereka yang dibebaskan sudah menolak keganasan.
"Yayasan akan membantu mereka mendapatkan pekerjaan dan kembali hidup dalam pangkuan masyarakat," kata Saleh Abdul-Salam, Pengarah pertubuhan kebajikan itu.
Yayasan tersebut memberi penekanan kepada pembebasan 90 tahanan LIPG yang telah memperlihatkan "kesediaan untuk kembali ke pangguan masyarakat."
Saleh berkata, "perbincangan dan rundingan panjang" bagi membebaskan mereka membabitkan "pemikir dan ulama" semasa rundingan "di dalam dan luar" Libya.
Seorang anggota LIPG yang dibebaskan dari penjara Abu Salim, Noureddin Ragab berkata, dia ditangkap kerana disyaki sebagai anggota kumpulan LIPG tetapi pendiriannya adalah "menentang keganasan."